Masjid Al-Aqsa diserbu polis Israel, jemaah dihalau guna peluru dan bom tangan
BAITULMAQDIS – Tidak sampai 24 jam, polis Israel kembali bertempur dengan rakyat Palestin dan menahan serta mengeluarkan lebih 350 orang dari kawasan masjid berkenaan.
Dalam insiden kedua malam tadi, polis Israel yang memasuki pekarangan masjid itu bertindak dengan mengusir jemaah dengan menembak peluru getah dan melepaskan bom tangan ‘stun’.
Susulan itu, jemaah bertindak balas dengan membaling objek terhadap pasukan rejim Zionis berkenaan.
Difahamkan insiden itu menyebabkan enam orang mengalami kecederaan.
Polis Israel dalam satu kenyataan mendakwa, puluhan orang muda membawa masuk batu serta mercun ke masjid dan cuba membentengi diri mereka di dalamnya.
Bagaimanapun, pihak Waqaf iaitu pertubuhan Islam dilantik Jordan untuk menguruskan kompleks berkenaan berkata, pasukan rejim itu memasuki masjid terbabit sebelum jemaah selesai menunaikan solat.
Nabil Abu Rudeineh sebagai jurucakap kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menyifatkan tindakan pihak Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menyerang jemaah, sebagai tamparan kepada usaha Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini untuk mewujudkan ketenangan serta kestabilan ketika Ramadan.