Berita SemasaPM X

Laporan akhir tragedi ‘Double Six’ didedahkan tidak lama lagi – PM Anwar

PUTRAJAYA – Laporan penuh kemalangan pesawat udara tragedi ‘Double Six’ yang berlaku pada 6 Jun 1976 akan didedahkan tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tragedi yang mengakibatkan kehilangan nyawa pemimpin utama Sabah tersebut merupakan tuntutan selama 47 tahun rakyat negeri itu, dan pendedahannya diharap dapat meredakan persoalan dan keresahan yang timbul selama ini.

“Pada hari ini , jemaah menteri mengambil kira pandangan dikemukakan rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan tuntutan dibuat keluarga dan waris yang mahu maklumat terperinci selari dengan dasar keterbukaan diamalkan Kerajaan Perpaduan.

“Oleh itu, kita memutuskan laporan akhir siasatan kemalangan itu akan diturun taraf atau dinyahklasifikasi iaitu semua maklumat akan diperkenalkan dan dihebahkan,” kata Perdana Menteri dalam satu sidang akhbar sejurus mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putra Perdana, di sini hari ini.

“Ia (akan) dibuat melalui kenyataan rasmi kerajaan dan Kementerian Pengangkutan pada minggu depan, manakala kenyataan awal boleh diedarkan dalam sehari dua ini,” kata Anwar lagi.

Tambahnya, selama ini kerajaan tidak membuat keputusan menghebahkan, menzahirkan atau diturun taraf (dinyahklasifikasi) sebagaimana peruntukan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

Tragedi Double Six merupakan nahas pesawat Nomad 9M-ATZ yang berlaku pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu yang turut mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu iaitu Tun Fuad Stephens selain empat menteri Sabah dan enam yang lain.

Pesawat dikendalikan oleh Sabah Air itu dalam perjalanan dari Labuan terhempas di daerah Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button