Jenayah & Mahkamah

PDRM lancar op khas banteras jenayah di Putra Perdana

SEPANG – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang akan melaksanakan Op Khas Putra Perdana bermula hari ini hingga Rabu susulan peningkatan kes jenayah di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, berikutan itu, pihaknya akan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) statik di enam lokasi hotspot yang sudah dikenal pasti sebagai salah satu usaha pencegahan jenayah.

“Kes jenayah dalam kawasan pentadbiran Balai Polis Putra Perdana agak menonjol kerana dalam bulan Mac lepas sahaja terdapat 16 kes jenayah. Balai polis (daerah Sepang) lain paling tinggi 10 kes. Atas sebab ini kami tumpukan operasi cegah jenayah di kawasan ini,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai Op Cegah Jenayah yang turut disertai kira-kira 100 anggota dari tiga balai iaitu Balai Polis Sepang, Balai Polis Putra Perdana dan Balai Polis Cyberjaya.

Wan Kamarul Azran seterusnya menambah, kes jenayah paling tinggi direkodkan melibatkan kes curi iaitu tujuh kes, pecah rumah (empat), curi motosikal (dua) dan masing-masing satu kes curi kereta, rogol dan samun tanpa senjata api.

Bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Mac lepas, katanya, kes jenayah yang direkodkan di kawasan pentadbiran IPD Sepang 161 kes berbanding 111 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Menyentuh perancangan IPD Sepang dalam membanteras jenayah di kawasan pentadbiran daerah itu, beliau berkata pihaknya memberi tumpuan utama kepada lima kawasan iaitu Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Putra Perdana, Cyberjaya, Dengkil dan Bandar Baru Salak Tinggi.

“Untuk tingkatkan kawalan, kami akan tambah kereta peronda kerana kami dapati kaedah rondaan amat perlu terutama di kawasan lebuh raya seperti SKVE (Lebuhraya Lembah Klang Selatan) dan LDP (Lebuhraya Damansara-Puchong) selain beberapa jalan utama di Dengkil dan Cyberjaya,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button