Berita Semasa

Status Pusat Latihan Kebangsaan FAM masih jadi tanda tanya

KUALA LUMPUR – Status pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan bola sepak di Putrajaya yang sepatutnya dimulakan pada tahun ini masih menjadi tanda tanya.

Ahli Dewan Negara, Datuk Mohd. Hisamudin Yahya berkata, pusat latihan tersebut adalah penting bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terutamanya melibatkan urusan latihan pasukan kebangsaan.

“(Ini kerana) FAM juga perlu menanggung kos-kos latihan dan persiapan untuk skuad lelaki, kita ada pasukan kebangsaan, Pasukan Bawah 23 Tahun, Pasukan Bawah 19 Tahun dan Pasukan Bawah 16 Tahun, Pasukan Futsal Lelak, Pasukan Futsal Lelaki Bawah 20 Tahun, Pasukan Bolasepak Pantai, ERimau (E-Sukan).

“Manakala, skuad wanita termasuk pasukan kebangsaan, Pasukan Bawah 20 Tahun, Pasukan Bawah 16 Tahun, Pasukan Futsal Wanita, Pasukan Futsal Wanita Bawah 20 Tahun,” kata Mohd. Hisamudin.

Mohd. Hisamudin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM berkata demikian dalam ucapannya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) di Dewan Negara, hari ini.

Untuk rekod, pembangunan pusat tersebut telah diumumkan oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Dewan Rakyat ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan dalam pentadbiran terdahulu.

Dalam jawapan bertulisnya ketika itu, Faizal Azumu berkata, perancangan untuk membina pusat tersebut telah dibuat sejak 2019.

Mohd. Hisamudin dalam ucapannya turut memaklumkan bahawa FAM masih memerlukan dana sokongan tahunan sebanyak RM10 juta sebagai tambahan dalam menaikkan mutu permainan tersebut di rantau Asia.

Seterusnya, beliau turut meminta kerajaan supaya membetulkan semula konsep ‘Park N Ride’ dengan membina kemudahan tersebut di luar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, kegagalan konsep meletak kereta dan menggunakan perkhidmatan awam adalah disebabkan lokasi kemudahan itu terletak dalam Putrajaya itu sendiri, iaitu Putrajaya Sentral dan Presint 14.

“Konsep ‘Park N Ride’ yang sepatutnya adalah di mana seseorang pengguna dapat meletakkan kenderaan bermotornya di tempat parkir yang terletak di luar kota atau di pinggiran kota, dan kemudian menaiki pengangkutan awam seperti LRT, MRT atau bas penyambungan ke pusat bandar,” kata Mohd. Hisamudin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button