Masa saya jadi PM, tak ada satu pun negara yang tidak sambut saya
PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad beranggapan pemerintah Arab Saudi mempunyai sebab tersendiri untuk tidak bertemu dengan Perdana Menteri negara ketika lawatan rasmi Malaysia ke negara itu baru-baru ini.
“Saya pun tak faham kenapa Raja Arab Saudi dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman tidak mahu berjumpa dengan Anwar.
“Tapi mereka mungkin mempunyai satu pandangan yang kita tidak tahu sehingga menyebabkan mereka tidak ingin berjumpa dengan Anwar bila dia pergi ke sana dan yang berjumpa dengan Anwar pun hanya pegawai yang amat rendah,” katanya.
Dr. Mahathir berkata, keadaan seperti itu tidak pernah berlaku semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.
“Saya semasa menjadi Perdana Menteri, saya membuat lawatan rasmi di banyak negara. Tak ada satu negara pun yang tidak sambut saya dengan ketua negara.
Itu jawapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi yang tidak disambut pemerintah tertinggi negara itu iaitu Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz atau Putera Mahkota Mohammed Salman.
Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, kerajaan Arab Saudi telah meminta Perdana Menteri melanjutkan tempoh lawatan tersebut bagi menyusun pertemuan antara pemimpin kedua-dua negara namun tidak dapat ditunaikan kerajaan kerana Perdana Menteri mempunyai kunjungan ke Kemboja dan China.