Peniaga pekasam mengaku tidak bersalah buat hantaran Twitter hina Sultan Johor
SEPANG – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhanan membuat penghantaran jelik terhadap Sultan Johor melalui aplikasi Twitter di Mahkamah Sesyen Sepang di sini hari ini.
Orang kena saman, Nor Fadzelli Nor Asmadi, 32, yang merupakan peniaga ikan pekasam memohon dirinya dibicarakan selepas mendengar pertuduhan dibacakan oleh Pegawai Pendakwa MCMC, Mai Zairani Zainal Abidin.
Dalam pertuduhan di depan Hakim Dr. Azrol Abdullah, Nor Fadzelli didakwa telah memulakan penghantaran komunikasi berbentuk teks yang jelik terhadap Sultan Johor dengan sengaja menggunakan aplikasi akaun Twitter @fadzelli6 yang dilihat pada 25 November 2022.
Kes mengikut Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda satu ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fazril Sani Mohamad Fadzil mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan kepada orang kena saman dengan seorang penjamin.
Nor Fadzelli yang masih bujang dan tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana menanggung seorang ibu dan lima adik-beradik.
Mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes dan memerintahkan tertuduh menyediakan peguam.