Pendapat

[PENDAPAT] Kolej MRSM Integrasi beri keuntungan semua golongan

PEMBINAAN Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerjasama MARA dan swasta bagi golongan berada yang disuarakan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini harus diambil perhatian khusus memandang perkara tersebut merupakan usul yang bernas dalam membina masyarakat Malaysia cemerlang.

Jadi, dalam menyatakan usul-usul membantah perkara berkenaan, tidak perlulah mengheret minda rakyat dengan isu-isu kononnya kerajaan cuba mengaut keuntungan projek serta mengabaikan golongan bawahan sekali gus lari dari objektif penubuhan MRSM.

Malah ada juga ahli politik yang menjalankan propaganda dengan bermain sentimen politik kebencian kononnya ketidaksempurnaan inisiatif kewangan swasta (PFI) dalam projek kerajaan sebelum ini, maka kita tidak harus teruskan saranan ini kerana cadangan MRSM kerjasama MARA dan swasta ini turut menggunakan kaedah PFI. Kenapa terlalu kolot dengan mempunyai mentaliti ‘dulu kita gagal maka akan datang juga kita akan gagal’?

Sebenarnya kewujudan institusi pembelajaran seumpama ini akan banyak lagi membantu golongan bawahan.

Ketika ini, sedarlah bahawa kita ada ramai lambakan anak-anak yang cemerlang pendidikan daripada keluarga B40 dan M40.

Dengan adanya pembinaan MRSM kerjasama MARA dan swasta seumpama ini, mereka ini tidak perlu lagi bersaing dengan anak-anak T20 yang lebih bernasib baik dari segi aspek kewangan serta perbelanjaan.

Malah bagi tujuan intergrasi sosial, MRSM kerjasama MARA dan swasta ini boleh mengambil minimum sepuluh peratus (10%) anak-anak miskin yang dipilih berdasarkan merit dimasukkan ke MRSM kerjasama MARA dan swasta ini dengan disediakan biasiswa pendidikan penuh yang ditaja oleh pihak korporat sebagai tanggungjawab sosial (CSR).

Bagi anak-anak T20 pula, memandangkan polisi ketika ini adalah mengutamakan anak-anak B40 ke MRSM atau sekolah berasrama penuh (SBP), maka tidak adil untuk anak-anak kita daripada golongan T20 yang juga mempunya keputusan cemerlang seperti rakan-rakan mereka namun dinafikan hak mereka hanya kerana mereka anak keluarga T20.

Tidak mustahil sekiranya mereka juga akan memberontak memandangkan mereka masih remaja. Ini kerana mereka juga berusaha keras dalam pembelajaran.

Pilihan yang ada bagi golongan ini ketika ini ialah sekolah berasrama swasta yang kebanyakkannya tidak menawarkan silibus nasional sebaliknya menawarkan IGCSE atau O-Level, dan akhirnya sekali lagi mereka dinafikan hak untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) disebab tidak mempunyai Sijil Pendidikan Malaysia (SPM).

Selain itu, MARA juga mampu memberi penekanan lebih dalam ilmu-ilmu agama kepada anak-anak golongan T20 ini berbanding jika mereka bersekolah di sekolah swasta yang berasaskan silibus pendidikan barat.

Namun begitu, lebih baik MRSM kerjasama MARA dan swasta ini dipanggil ‘Kolej MRSM Integrasi’ memandangkan institusi pendidikan ini memberi keuntungan kepada semua golongan khusus generasi pemimpin masa depan.

Jadi tidak perlu diputar-belit saranan ini dengan isu kononnya MARA akan menggunakan duit rakyat untuk kepentingan golongan T20 kerana kaedah PFI perlaksanaannya adalah secara Build Lease Maintain (BLM) atau Build Lease Maintain Transfer (BLMT) yang mana tempoh konsesinya akan dipersetujui secara bersama antara MARA dan pihak swasta tersebut.

Khaleef Imran, Johor Bahru

Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Malaysia Tribune.

Show More

Related Articles

Back to top button