Wanita rempuh enam gerai bazar Ramadan
JEMPOL – Enam buah gerai di Bazar Ramadan Bandar Seri Jempol di sini, rosak teruk selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita pada pagi Sabtu.
Nur Shaliyana Abdullah, 34, yang juga peniaga di situ, berkata, kejadian lebih kurang jam 10 pagi ketika dia hendak meletakkan kenderaannya di situ susulan kedai sewanya berhampiran lokasi tersebut.
Katanya, dia juga memohon maaf atas kejadian tersebut dan mengakui kejadian itu berlaku sekelip mata sahaja.
“Kebiasaannya saya memang parkir dekat situ, namun hari ini entah macam mana boleh rempuh enam buah gerai pula.
“Kejadian itu sekelip mata sahaja, rasanya dah tekan brek tetapi berlaku sebaliknya kereta meluncur laju depan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Dalam pada itu, wanita tersebut bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan kecederaan kepada orang lain berikutan jualan bazar belum bermula.
“Selepas kemalangan ada peniaga lain membantu mengeluarkan saya dan mereka turut membantu mengenal pasti pemilik gerai terlibat.
“Saya minta maaf dan akan membayar ganti rugi semua gerai yang rosak,” katanya.
Tambahnya, dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan akibat rempuhan itu.
“Empat khemah gerai patah manakala dua buah gerai pula mengalami kerosakan pada meja,” katanya lagi.