Jenayah & Mahkamah

Polis sahkan terima laporan pemandu treler dipukul

KLANG – Polis mengesahkan menerima satu laporan daripada seorang pemandu treler selepas dipukul oleh orang awam dalam satu kejadian kemalangan maut membabitkan kenderaan itu dengan sebuah motosikal di Kampung Telok Gong, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dalam satu kenyataan berkata, pemandu berusia 36 tahun itu cedera di pipi kanan dan telah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sebagai pesakit luar.

“Pemandu telah buat laporan di Balai Polis Pandamaran, di sini petang semalam (Rabu) berhubung kes dia dipukul oleh individu yang belum dikenal pasti.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pelaku terbabit,” katanya pada Khamis.

Tambah Hoong Fong, punca kejadian dipercayai motosikal ditunggangi wanita berusia 54 tahun dan dua kanak-kanak itu hilang kawalan ketika melalui permukaan berpasir.

“Semasa kejadian, treler dari arah Klang menghala ke Telok Gong, apabila sampai di persimpangan Jalan Bawal, sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang wanita bersama dua pelajar sekolah iaitu pelajar perempuan (sembilan tahun) dan pelajar lelaki (tujuh tahun) keluar dari simpang menghala ke arah sama dengan treler berkenaan,” katanya.

Katanya, penunggang motosikal tidak dapat mengawal motosikal kerana bahu jalan berpasir menyebabkan motosikal dan penunggang serta pembonceng terjatuh di atas jalan raya.

“Mangsa merupakan seorang pelajar perempuan digilis oleh roda tayar belakang treler, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button