Jana Wibawa: Datuk Roy ditahan SPRM, direman Selasa ini
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendapatkan perintah reman terhadap seorang lelaki yang dikenali sebagai Datuk Roy di Mahkamah Putrajaya pada Selasa pagi.
Lelaki itu bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dilaporkan menyerahkan dirinya hari ini.
Menurut NST, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata individu itu, Mohd Hussein Mohd Nasir, 54, yang juga dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ menyerah diri petang tadi.
Lelaki itu dikehendaki bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Terdahulu, Bernama melaporkan suruhanjaya itu sedang mengesan seorang lelaki dan orang awam yang memiliki maklumat berkaitan untuk tampil ke depan.
Laporan itu juga menyatakan lelaki itu merupakan perancang utama dalam kes rasuah berkenaan.
Setakat ini tiga ahli politik telah didakwa berkaitan kes Jana Wibawa, iaitu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.
Program Jana Wibawa dilancarkan pada 2020 sebagai inisiatif untuk membantu kontraktor bumiputera yang terjejas akibat wabak Covid-19.