Berita Semasa

Program Galeri Uniti berlangsung meriah, pupuk perpaduan pelbagai kaum

KUALA LUMPUR – Program Galeri Uniti di bawah inisiatif Kembara Perpaduan Malaysia Madani terus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai selepas memasuki edisinya yang kelima hari  ini.

Menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, program tersebut diadakan bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat melalui aktiviti yang lebih santai.

Katanya, program tersebut juga turut memberi peluang masyarakat mempelajari dan memahami keunikan dan kepelbagaian adat, budaya, dan kaum di Malaysia.

“Hari ini kita berada di sini mengadakan Program Galeri Uniti di sini. Walaupun dalam skala yang bukan besar-besarkan tapi cukup untuk kita kumpulkan masyarakat pelbagai kaum bangsa, agama berkumpul di sini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Galeri Uniti bertempat di AEON Alpha Angle, Wangsa Maju di sini, hari ini.

Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah persembahan kebudayaan pelbagai etnik, pameran rumah kami, merangkumi maklumat berkaitan pakaian, makanan dan sukan rakyat pelbagai etnik termasuklah masyarakat Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak serta pameran pelbagai agensi di bawah Kementerian Perpaduan.

Tambah Aaron, pihak kementerian juga telah merancang untuk mengadakan sambutan Hari Perpaduan dalam skala yang besar yang dijadualkan diadakan pada 20 Mei di Kuching, Sarawak.

“Kita akan adakan program besar-besaran Sambutan Hari Perpaduan ia akan dilancarkan di Kuching Sarawak dan banyak program yang akan dibuat.

“Pelancaran di Sarawak pada 20 Mei. Kemudian akan ke Sabah, Johor, Pulau Pinang dan semua negeri akan mengadakan sambutan Hari Perpaduan,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button