Muhyiddin dakwa pertuduhan dikenakan ke atasnya dirancang lebih awal
KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah satu bentuk pendakwaan politik yang sudah dirancang dengan lebih awal oleh pihak paling berkuasa dalam pentadbiran negara.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri, berkata, keputusan untuk mendakwanya telah dijalankan tanpa siasatan yang lengkap.
“Mereka hanya menggunakan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka. Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang. It is an organized political persecution.
“Saya telah berkecimpung dalam politik selama 50 tahun. Sepanjang tempoh itu, tidak ada apa-apa kesalahan yang saya lakukan. Malah saya sentiasa akur kepada peraturan dan undang-undang.
“Saya tidak melanggar peraturan dan undang-undang dengan sewenang- wenangnya. Pegawai-pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan saya pasti tahu sikap dan pendirian saya mengenai pematuhan kepada peraturan dan undang-undang,” tegasnya dalam satu sidang media di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin; Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Terdahulu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima rasuah RM232.5 juta dan dua tuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM195 juta.
Mahkamah membenarkan Muhyiddin diikat jamin RM2 juta dengan dua orang penjamin serta menetapkan syarat tambahan iaitu, beliau dikehendaki untuk menyerahkan pasport sehingga kes selesai dam menetapkan 26 Mei depan sebagai sebutan semula kes.
Tambah Muhyiddin, beliau menerima pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dengan sabar dan mengakui terdapat pihak yang mahu ‘menghancurkannya’.
Katanya, beliau menghargai sokongan yang diberikan kepadanya dan tidak akan mengajak penyokongnya untuk melakukan protes di jalanan susulan virus Covid-19 yang masih aktif.
“Bagi saya tidak mengapa. Ini jalan perjuangan yang saya pilih. Saya tidak memilih untuk bersekongkol atau tunduk dengan desakan mereka yang batil. Saya pilih untuk tegak berdiri di atas prinsip yang saya pegang. Ini adalah harga yang perlu dibayar.
“Saya yakin dengan kuasa Allah. Saya berdoa semoga Allah s.w.t. mengurniakan rahmah dan inayah-Nya ke atas saya dan melindungi saya dan sahabat-sahabat seperjuangan saya daripada fitnah jahat dan musibah buruk.
“Kepada ahli-ahli bersatu, penyokong Perikatan Nasional dan rakyat seluruhnya, saya amat menghargai sokongan anda semua. Bertenang dan berilah peluang kepada saya untuk membela diri melalui proses undang-undang.
“Apa yang saya harapkan hanyalah titipan doa daripada saudara dan saudari sekalian supaya saya diberikan keadilan dan kita semua dilindungi oleh Allah,” katanya lagi.