Berita SemasaPM X

PM Anwar arah projek tebatan banjir RM600 juta ke atas disegerakan

SEGAMAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM600 juta ke atas diarahkan supaya diluluskan dan disegerakan mulai Jun ini.

Katanya, keputusan kerajaan menyegerakan projek RTB segera itu bagi mengelakkan bencana banjir berulang semula yang boleh menjejaskan rakyat.

“Isu banjir ini kalau kita tidak lakukan apa-apa yang serius, ia akan berulang. Banjir ini bukan kali pertama, bertahun-tahun dan di sini sudah dua kali banjir besar.

“Oleh itu kita putuskan projek mahal RM600 juta atau lebih untuk RTB akan disegerakan. Itu kita lulus dan akan segerakan.

“Tempoh hari saya tangguh sebentar (projek RTB) kerana kita tidak mahu peruntukan untuk bantu rakyat ada ketirisan, ada kecurian.

“Kita perlu proses tender walau disegerakan. Semua projek RTB yang diluluskan harus semuanya beroperasi mulai Jun ini. Jadi tak boleh dilengahkan lagi,” katanya dalam satu sidang media di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Tengah, di sini, hari ini.

Yang Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pada 5 Disember lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan kerana didakwa telah berlaku ketirisan berhubung projek berkenaan.

“Kita dah minta ia disegerakan, maksudnya Jun harus ‘take off’ projek RTB. Kita tangguhkan dulu kerana ada masalah.

“Kita mahu beri amaran keras jangan guna peruntukan semasa banjir atau darurat atau apa jua masalah dihadapi rakyat, jangan guna itu bagi mencari peluang untuk habuan tambahan,” katanya lagi.

Terdahulu, Onn Hafiz mengiringi Anwar bagi melakukan tinjauan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gemereh.

Show More

Related Articles

Back to top button