Berita Semasa

Kerajaan Johor laksana operasi khas bantu penduduk kawasan kritikal banjir

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor sedang melaksanakan operasi khas di kawasan kritikal banjir bagi membantu mangsa di kawasan terlibat.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata demikian ketika mesyuarat koordinasi gerak kerja bersama pegawai-pegawai Daerah dan agensi-agensi di Bilik Gerakan Bencana Banjir Negeri Johor, malam tadi.

“Operasi khas di kawasan yang kritikal sedang dan akan diteruskan untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Permasalahan dan solusinya juga diputuskan semasa mesyuarat ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, malam tadi.

Tambahnya, memandangkan Johor telah menerima laporan awal dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tentang kemungkinan gelombang baharu susulan amaran hujan lebat tahap bahaya di beberapa daerah, adalah menjadi tekad kerajaan negeri supaya persiapan dan penyelarasan sewajarnya dilakukan.

“Mohon semua rakyat Johor untuk sama-sama memohon doa agar Allah SWT mengangkat musibah ini, dan semoga ada sinar di sebalik bencana banjir ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri serta semua agensi terlibat yang bekerja siang dan malam membantu mangsa banjir.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pengurusan) Datuk Noh Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Kesukarelawanan) Datuk On Jabbar@Jaafar serta pegawai-pegawai daerah dan wakil agensi-agensi terlibat.

Setakat pukul 4 pagi tadi, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 44,860 orang di kesemua 10 daerah di negeri ini dengan Batu Pahat menjadi daerah paling terjejas dengan 14,030 mangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button