Berita Semasa

Tiada peruntukan khas bagi e-sports – KBS

KUALA LUMPUR – Tiada peruntukan khas disediakan bagi e-sports dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ini berikutan pihaknya sudah menganggap e-sports sebagai salah satu sukan ‘mainstream’, jadi tiada keperluan mewujudkan sebarang peruntukan khas.

“Kita beri keutamaan kepada semua sukan, kita ada banyak jenis sukan, kita tak ada lihat ada bajet khas untuk e-sports (kerana) sudah jadi mainstream untuk KBS.

“Ini bermaksud, setiap tahun memang akan ada peruntukan untuk e-sukan, cuma jumlah kita tidak boleh beritahu,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pratonton dokumentari Jalur 14: Bahagian Kedua di Dadi Cinema, Pavillion, di sini hari ini.

Bagaimanapun Hannah berkata, sebarang keputusan mengenai jumlah bajet kementerian itu akan diputuskan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Hannah juga berkata, tidak banyak perubahan mengenai inti pati bajet tahun ini bagi kementerian tersebut berbanding yang telah dibentangkan sebelum ini.

“Kami tidak mempunyai komponen luar biasa dan ia tidak akan berubah dengan banyak berbanding tahun lepas,” jelasnya lagi.

Sementara itu, program Jalur 14: Bahagian Kedua merupakan kesinambungan kepada bahagian pertama pengkisahan bidang e-sports di Malaysia.

Dokumentari tersebut bakal menemui penonton di saluran Astro Arena mulai 23 Feb ini.

Show More

Related Articles

Back to top button