Berita Semasa

Siasatan kes vandalisme pelajar di Pulau Pinang selesai

KAJANG – Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan proses siasatan terhadap sekumpulan pelajar terbabit dalam perbuatan merosakkan harta benda sekolah selepas sesi terakhir persekolahan baru-baru ini baru-baru ini selesai.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, siasatan telah dilakukan termasuk memanggil ibu bapa pelajar berkenaan dan ia akan disusuli dengan beberapa proses intervensi lain termasuk kaunseling secara berterusan.

“Proses intervensi ini juga sudah dilakukan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Selepas ini kita akan lihat hasil daripada kauseling itu untuk kita tahu apa yang menyebabkan mereka jadi begitu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas kunjungan hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Jalan Empat di Bandar Baru Bangi di sini.

Bagaimanapun Fadhlina berkata, tindakan sewajarnya yang perlu diambil semua pihak adalah memberi peluang kepada pelajar berkenaan melalui teguran dan didikan.

“Saya nak ulang beginilah, ini anak-anak kita jadi kita jangan putus asa. Saya faham ramai yang marah melihat kejadian tersebut.

“Tapi saya fikir anak-anak ini mesti diberikan peluang untuk didikan, teguran dan juga kaunseling yang berterusan.

“Mungkin ada isu-isu yang perlu kita tangani secara bersama dan lakukan tugas kita sebagai ibu bapa, guru dan juga kaunselor untuk memastikan mereka tidak mengulangi perbuatan ini.

“Saya serahkan isu disiplin ini kepada pihak sekolah dan saya percaya pihak sekolah sudah mengambil beberapa tindakan khusus untuk menangani isu ini,” katanya.

Video perbuatan merosakkan kipas dan kerusi di bilik kelas oleh beberapa pelajar sebuah sekolah di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang tular baru-baru ini.

Show More

Related Articles

Back to top button