Berita Semasa

KKM batalkan penjualan 2 produk kosmetik mengandungi merkuri

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi dua produk kosmetik iaitu Karisma Turmeric Booster Cream dan Flashhskinzz Treatment Cream berkuat kuasa hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Norr Hisham Abdullah, tindakan tersebut diambil selepas kedua-dua produk berkenaan dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri.

Katanya, tindakan pembatalan tersebut diambil Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi di KKM sekaligus produk berkenaan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Kata Dr Norr Hisham, beliau menggesa peniaga menghentikan penjualan dua produk kosmetik terbabit, manakala orang awam diminta tidak membeli atau menggunakannya.

“Merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, penjualan dan pengedaran produk kosmetik yang sudah dibatalkan notifikasi ini adalah salah kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

“Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya pula untuk kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya lagi.

“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button