Industri dron mampu jana pendapatan negara
BANGI – Kerajaan komited membangunkan industri dron negara kerana sektor yang semakin berkembang ini mampu menjana pendapatan negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan kajian pasaran pada 2021, industri dron global dijangka menjana nilai pasaran sejumlah RM180.068 bilion (AS$41.3 bilion), dengan industri tempatan dijangka mencecah nilai pasaran berjumlah sehingga RM12.13 bilion.
Jelas Ahmad, kerajaan komited untuk membangunkan industri berteknologi tinggi seperti industri dron supaya lebih ramai golongan muda dapat memanfaatkan teknologi baharu yang memberi impak tinggi terhadap ekonomi negara.
“Perkara melibatkan penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu adalah antara komponen tumpuan utama kerajaan hari ini dan perkara itu akan turut diberi perhatian dalam pembentangan Belanjawan 2023 akan datang,” katanya, hari ini.
Ahmad berkata demikian pada sidang akhbar sejurus melancarkan program inkubator sukan dron – Dronecubator di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.
Program dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MoF) itu akan dikendalikan oleh Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) dan Futurise, anak syarikat milik penuh Cyberview Sdn Bhd di bawah MoF.
Program Dronecubator yang dibangunkan UKM turut bekerjasama dengan Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (Aksadron), bertujuan melatih bakat baharu dan memberi pendedahan tentang teknologi sukan dron dengan memberi fokus kepada penggunaan teknologi terkini.