Pengeluaran KWSP: Kerajaan ada jalan lain
KUALA LUMPUR – Kerajaan memilih pendekatan untuk mencari jalan bagi menambah pendapatan rakyat berbanding mengambil jalan mudah dengan membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, gesaan dan idea pelbagai pihak supaya kerajaan membenarkan sekali lagi pengeluaran wang KWSP sememangnya mudah dilontarkan tetapi kesannya adalah kepada pencarum.
“Untuk pengeluaran KWSP, ya saya faham untuk sesetengah keluarga itu dikira dapat membantu buat masa sekarang tetapi kos yang terpaksa ‘dibayar’ mereka di kemudian hari adalah tinggi.
“Kita boleh ambil jalan mudah tapi dalam keadaan masyarakat kita yang semakin menua dan kos untuk untuk melalui hari tua itu akan bertambah tinggi.
“Sebab itu kita perlu tumpukan kepada usaha lain yang dapat menambah pendapatan kerana menyentuh atau mengambil wang persaraan itu akan menanggung kehilangan simpanan hari tua,” katanya.
Rafizi berkata demikian pada sidang media selepas Dialog Strategik Bersama Menteri Ekonomi: Pemerkasaan Industri Untuk Memacu Pertumbuhan Ekonomi Dalam Era Revolusi Perindustrian Keempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) di sini, hari ini.
Lebih malang lagi kata beliau, gesaan supaya pengeluaran KWSP dicanang oleh ahli-ahli politik yang berkepentingan dan kemudian akan ‘mencuci tangan’.
Sementara itu Rafizi berkata, Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Feb ini dijangka menumpukan dasar dan kerangka yang mampu membuka peluang kepada lebih ramai golongan B40 menambah pendapatan.
Langkah itu katanya lebih sesuai untuk mengurangkan beban hidup rakyat tanpa pengeluaran KWSP yang pada dasarnya tabung simpanan hari tua.
Anwar pada satu majlis di Kuala Selangor semalam menjelaskan, kerajaan tidak akan membenarkan pengeluaran KWSP lagi, sebaliknya akan mencari mekanisme lain tanpa memberi kesan kepada simpanan hari tua rakyat.