Pasukan kedua SAR Malaysia selamat tiba di Turkiye
KUALA LUMPUR – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kumpulan kedua Malaysia selamat tiba di Turkiye pagi tadi bagi misi membantu mangsa gempa bumi di sana
Perkara tersebut dimaklumkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan di Facebook rasmi Nadma hari ini.
“Alhamdulillah pasukan kedua SAR yang bergerak pada malam tadi telah selamat tiba di Turkiye pagi ini.
“Mari sama-sama doakan agar pergerakkan mereka ke lokasi seterusnya dipermudahkan,” katanya dalam kenyataan itu.
Terdahulu, pasukan kedua Malaysia yang terdiri daripada 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Nadma, 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 20 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
Kedua-dua pasukan SAR yang dihantar ke Turkiye akan berada di sana selama 14 hari dan bebas bergerak ke semua kawasan terlibat untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
Lebih 12,000 orang terkorban akibat gempa bumi berukuran 7.8 magnitud berhampiran sempadan Turkiye-Syria, dengan jumlah mangsa dijangka meningkat.