Berita Semasa

UMNO tidak perlu tunduk desakan DAP dalam isu peneroka haram Musang King – Pemuda Pas

RAUB – Pemuda Pas Pahang menggesa UMNO untuk tidak tunduk terhadap desakan berkaitan isu pencerobohan tanah kerajaan oleh pekebun Musang King di sini.

Ketua Pemuda Pas Pahang, Aireroshairi Roslan, berkata, beliau berharap agar UMNO untuk terus berpegang dengan pendirian mereka sebelum ini.

“Besar harapan kita agar UMNO terus berpegang dengan pendirian mereka sebelum ini. UMNO perlu membuktikan bahawa kuasa politik orang Melayu tidak hilang ditelan DAP. Jangan dicabul kedaulatan negeri dan hak rakyat hanya kerana ‘cintakan’ DAP.

“Pemimpin dan penduduk yang telah dinafikan hak perlu bersatu melawan pencerobohan ini. Jangan sampai menang sorak kampung tergadai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Aireroshairi lagi, beliau juga mempersoalkan adakah kehendak DAP perlu lebih diutamakan berbanding tanah di negeri Pahang dan UMNO Pahang.

“Bukankah ini yang dimaksudkan oleh Timbalan Presiden UMNO tentang “DAP tidak bermuka-muka” dan “Kita memang kenal pendirian mereka?

“Mungkinkah kehendak DAP lebih utama daripada tanah negeri Pahang dan maruah UMNO Pahang?,” soalnya.

Mengulas lanjut katanya, pada Khamis lalu, lebih 500 penceroboh tanah yang melaksanakan tanaman Durian Musang King secara haram telah berhimpun bersama Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan ADUN Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

“Ahli Parlimen DAP itu juga secara terbuka telah meminta kerajaan Pahang bertimbang rasa terhadap nasib pekebun durian Musang King di Raub. Hebat sungguh DAP, penceroboh pun boleh berunding dan keras kepala.

“Sedangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini telah menasihatkan pekebun durian Musang King di Raub supaya menimbang semula permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan.

“Bahkan pada 3 Julai 2021, kawasan penanaman durian Musang King di Batu Talam seluas kira-kira 101 hektar melibatkan kira-kira 15,000 pokok telah ditebang kerana ditanam di kawasan hutan simpan kekal,” jelasnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button