Berita SemasaPM X

Belanjawan 2023: Pendekatan lebih radikal akan dilaksanakan

PUTRAJAYA – Belanjawan 2023 yang dijangka dibentangkan pada 24 Februari ini akan mengambil kira pertumbuhan negara, menarik pelaburan ke dalam negara dan membawa ‘rahmah’ kepada rakyat negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan aspek daya saing, tempoh kelulusan perniagaan dan beberapa inisiatif baharu termasuk pendigitalan dan pengeluaran sumber asli  dalam proses hiliran.

“Saya turut maklumkan bahawa cabaran terbesar merangka Belanjawan 2023 adalah mencari dasar yang seimbang untuk menarik pelabur serta melindungi rakyat terutama golongan miskin tegar,” katanya di Facebook selepas berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Bangunan Perbendaharaan, di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar berkata, kerajaan bersama pasukan di Kementerian Kewangan akan berusaha gigih untuk mendepani beberapa masalah dengan berani termasuk menggunakan pendekatan lebih radikal.

Perkara itu katanya perlu disegerakan kerana negara berada dalam keadaan ketinggalan dalam banyak perkara disebabkan oleh kelemahan pelaksanaan dasar khususnya dalam aspek ekonomi.

“Banyak hal kita ketinggalan. Hampir setiap hari saya ada kumpulan perbincangan…. umpamanya dalam soal daya saing, kecepatan, kepesatan kelulusan perniagaan, soal beberapa inisiatif baharu seperti digitalisasi, serta beberapa tindakan bagi memastikan keluaran sumber asli melalui proses hiliran.

“Itu semua kita ketinggalan dari Indonesia, Vietnam. Hal ini mesti kita depani untuk memastikan kita mampu dan berdaya saing,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button