Berita Semasa

Projek Braille House: PPOBM seru penglibatan pihak korporat

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM) mensasarkan sumbangan berjumlah RM1 juta pada Majlis Makan Malam dan Anugerah PPOBM 2023 untuk dana pembinaan pusat percetakan Braille dan pelbagai program tahun 2023.

Majlis mengumpul dana yang diadakan di Pusat Konvensyen Bangi Avenue pada 22 Februari ini akan dimeriahkan dengan penampilan penyanyi Hafiz Suip dan Adira Suhaimi.

Presiden PPOBM, Mohammad Huzaifah Ahmad berkata, program tertangguh sejak 5 tahun itu bertujuan mengumpul dana bagi menampung kos operasi, menjalankan program bantuan dan kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan di seluruh negara.

Katanya, penubuhan pusat percetakan Braille atau ‘Braille House’ diharap akan dapat mencetak dan mengedar lebih banyak bahan bacaan untuk kegunaan OKU penglihatan.

Mohammad Huzaifah berkata, usaha itu juga diharap dapat mengatasi masalah kekurangan bahan bacaan Braille yang merupakan ‘ancaman’ literasi kepada golongan OKU penglihatan.

“Saya terkejut kerana bekalan buku Braille (bahan bacaan tambahan) yang ada di sekolah hanyalah buku-buku lama dan sebahagiannya telah hilang muka surat.

“Ini membimbangkan kerana inisiatif membimbing pelajar kini terletak pada sejauh mahu kesanggupan guru sedangkan bahan belajar untuk menguasai Braille ini sangat perlu,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Hadir sama pengasas OilyLicious Healthcare Sdn. Bhd, Norhidawati Abdul Aziz yang merupakan rakan kolaborasi dan penaja majlis makan malam PPOBM.

Majlis makan malam itu juga akan menyampaikan 7 anugerah khas kepada OKU penglihatan berpencapaian sebagai pengiktirafan dan motivasi kepada orang ramai.

Bercerita pengalaman semasa melanjutkan pelajaran di Jepun, Huzaifah mengakui penglibatan NGO atau sektor swasta untuk membantu golongan tersebut di negara ini masih kurang.

“Banyak aspek pembangunan OKU tidak ‘disentuh’ oleh NGO dan swasta sedangkan kelompok masyarakat ini amat memerlukan sokongan dan bantuan.

“Misalnya tidak ramai yang mengetahui kos untuk mencetak bahan Braille lebih 10 kali ganda lebih mahal daripada kos cetakan biasa,” katanya.

Justeru Huzaifah berkata, pihak korporat atau individu boleh menyumbang kepada tabung PPOBM melalui tiga pakej tajaan meja iaitu kategori Perak pada harga RM10,000, Emas (RM20,000) dan Platinum (RM30,000).

Katanya, pembelian tempat duduk secara individu pula boleh dibeli pada harga RM1,000 setiap satu.

Mengulas mengenai perancangan hasil kutipan dana itu, Huzaifah berkata pihaknya akan mengadakan lebih banyak program untuk golongan cacat penglihatan seperti program sepanjang bulan puasa, kursus lanjutan juru urut, program white water rafting, berbasikal.

Pada masa yang sama, pihak bercadang untuk menambah cetakan Al-Quran Braille untuk diedar di seluruh negara.

“Alhamdulillah kami juga telah bekerjasama dengan syarikat penerbitan buku popular PTS yang membenarkan kami mencetak semua jenis buku mereka dalam bentuk Braille,” katanya.

Tiketi majlis makan malam ini boleh dibeli di laman https://dinner.ppobm.org.my/  atau menghubungi talian 6011-6219 7914 untuk maklumat lanjut.

Show More

Related Articles

Back to top button