Berita Semasa

Hab pengangkutan awam baharu akan dibina di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Kerajaan merancang membangunkan sebuah hab pengangkutan awam baharu di ibu kota yang menghubungkan beberapa mod pengangkutan seperti monorel, LRT laluan Ampang, MRT2 (Laluan Putrajaya) serta MRT3 yang bakal dibina.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kawasan yang dikenal pasti bagi pembangunan tersebut adalah berhampiran kawasan stesen Titiwangsa, di sini.

Beliau berkata, tapak yang sudah dikenal pasti itu milik MRT Corp yang akan bertanggungjawab membangunkan projek berkenaan termasuk urusan perolehan dan tender.

“Pada mulanya (pembesaran stesen) ini dirancang bersama pembinaan MRT3, tetapi saya beritahu MRT Corp mungkin kita perlu melihat perkara ini dan melakukannya lebih awal, sebelum pembinaan (MRT3),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Depoh MRT Sungai Buloh, hari ini.

Tambahnya, kementerian juga mengenal pasti kawasan pembangunan yang juga bekas tapak Flat Pekeliling yang dirobohkan untuk melaksanakan pembinaan tersebut berkonsepkan stesen pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Terdahulu, Anthony mengadakan lawatan kerja ke MRT Laluan Putrajaya bermula dari stesen Putrajaya Sentral ke stesen Titiwangsa, sebelum menuju ke stesen Kwasa Damansara.

Show More

Related Articles

Back to top button