Jenayah & Mahkamah

Mayat mangsa bunuh kekasih isteri ditemukan tertanam

SUBANG – Polis berjaya menemukan mayat seorang lelaki yang dipercayai dibunuh kekasih isteri mangsa tertanam di belakang sebuah rumah banglo di Subang Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, mangsa yang dilaporkan hilang sejak Mei tahun lalu ditemukan selepas polis mendapat pengakuan dari suspek utama kes.

Wan Azlan berkata, suspek warga negara India yang disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengaku membunuh mangsa dengan cara mengelar leher sebelum ditanam di belakang sebuah pusat jagaan orang tua.

“Suspek berusia 30 tahun itu kemudian dibawa ke lokasi dan polis kemudian menemukan sebuah bungkusan plastik yang digunakan untuk membalut tubuh mangsa.

“Kita turut menyiasat kemungkinan penglibatan isteri mangsa secara langsung dalam insiden ini kerana laporan dibuat oleh rakan mangsa dan bukan isteri si mati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Azlan, suspek, mangsa dan isteri mangsa sebelum ini bekerja di pusat jagaan orang tua yang sama.

Polis menahan suspek dan isteri mangsa pada Khamis lalu dan menahan tiga wanita termasuk dua rakyat tempatan dan seorang warga Indonesia keesokan harinya.

“Siasatan mendapati ketiga-tiga wanita itu tiada rekod lampau,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button