Pendaki ditemui selepas 2 hari hilang di Bukit Tabur
AMPANG – Seorang pendaki wanita yang dilaporkan hilang ketika mendaki Bukit Tabur di Kampung Klang Gate di sini sejak Ahad lalu berjaya ditemukan pada pukul 11 pagi ini.
Mangsa, S Sangeetha Suppiah, 26, ditemukan di kawasan gaung dengan kecederaan pada kaki selepas terjatuh dari laluan di puncak bukit batu kapur berkenaan.
Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, mangsa berjaya diselamatkan dalam operasi SAR yang dimulakan sejak awal pagi semalam dan disambung semula pada jam 7.30 pagi ini.
“Mangsa ditemui dalam keadaan sedar namun mengalami kecederaan akibat terjatuh ke kawasan gaung.
“Anggota dalam usaha membawa mangsa naik ke tempat selamat,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazam berkata, operasi SAR dibahagikan kepada dua laluan yang diketuai oleh seorang pegawai bomba bersama 13 anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).
Satu pasukan lagi diketuai oleh seorang anggota bomba dengan kekuatan 55 anggota termasuk Pasukan Multi Skill (MUST) bomba, polis, angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Hutan dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung dan Gua (MOSAR).
“Operasi turut dibantu oleh dua anjing pengesan dari unit K9 JBPM bersama empat pegawai serta Unit Dron,” katanya.