Berita Semasa

Mahkamah ketepi perintah waris Sulu kerana ‘tipu daya’ – Azalina

KUALA LUMPUR – Mahkamah di Luxemburg dilaporkan telah mengetepikan perintah penahanan aset yang diminta oleh waris Kesultanan Sulu kerana gagal mendedahkan maklumat diperlukan mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu diputuskan selepas mahkamah mendapati waris atau penuntut gagal mendedahkan alamat sebenar mereka sedangkan maklumat tersebut dikategorikan “penting” kepada mahkamah.

“Mahkamah mendapati bahawa tindakan penuntut untuk tidak mendedahkan alamat sebenar mereka adalah sesuatu yang penting yang menghalang penyampaian dokumen dan penguatkuasaan keputusan yang mungkin dikeluarkan terhadap penuntut.

“Menurut mahkamah, tindakan penuntut tersebut adalah suatu ‘kesusahan yang jelas’ yang menjejaskan Malaysia,” katanya.

Azalina yang mengecam waris berkata, penuntut secara konsisten menggunakan tipu daya dalam tuntutan mereka terhadap Malaysia.

Beliau mengulangi pendirian bahawa Putrajaya akan meneruskan usahanya untuk melindungi dan memelihara kepentingan dan kedaulatan Malaysia, di samping akan terus mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan palsu penuntut.

Sebuah mahkamah di Luxembourg Selasa lalu bersetuju mengetepikan perintah yang membenarkan pihak mendakwa diri mereka sebagai waris kesultanan Sulu merampas aset Malaysia.

Ini merujuk kepada dua anak syarikat Petronas yang ‘dirampas’ oleh waris kesultanan Sulu tahun lepas berikutan pertikaian undang-undang dengan Malaysia berhubung pajakan ke atas Sabah yang belum dibayar.

Julai lalu, waris kesultanan Sulu mendapat perintah penahanan untuk merampas aset Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang didaftarkan di Luxembourg.

Tindakan waris kesultanan Sulu merampas aset Petronas itu adalah sebahagian daripada permohonan mereka untuk menuntut AS$14.92 bilion (RM63.34 bilion sehingga berita ini ditulis) daripada kerajaan Malaysia sebagai tindak balas kepada tindakan Malaysia memotong bayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.

Waris Sulu pada mulanya membawa perkara itu kepada timbang tara Sepanyol pada Julai 2019, dan penimbang tara yang dilantik Gonzalo Stampa membuat keputusan memihak kepada pihak yang menuntut.

Keputusan itu kemudian digunakan untuk merampas aset Petronas di Luxembourg.

Show More

Related Articles

Back to top button