Berita Semasa

Akademi Todak buka cawangan ke-2, terima sambutan menggalakkan

KUALA LUMPUR – Majlis Perasmian Akademi Todak Kuala Lumpur berlangsung meriah dengan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai di Pusat Beli Belah Mara Digital (Mara Digital Mall), di sini hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Todak, Taufik Rizal, pembukaan Akademi Todak di pusat beli belah berkenaan adalah sebagai satu perkembangan yang positif.

Katanya, sehingga kini Akademi Todak telah menerima 1,000 permohonan dan terpaksa membuat tapisan bagi memilih calon yang sesuai ke akademi itu.

“Alhamdulillah kami telah berkembang ke cawangan ke-2 di Mara Digital Mall pada tahun 2023. Kita mula beroperasi pada bulan Januari ini dan hari ini kita mula dengan 25 orang pelajar.

“Sekarang ini kuantiti pendaftaran di Todak Akademi agak tinggi dan hampir mencecah 1,000 lebih yang ingin masuk. Jadi kami terpaksa tapis untuk program game development, animasi dan dan e-sukan. Kami berbesar hati dan gembira dengan sambutan yang menggalakkan ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pembukaan Akademi Todak di Mara Digital Mall, hari ini.

Yang hadir sama merasmikan majlis berkenaan, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Mengulas lanjut, Taufik berkata, Akademi Todak menyasarkan 200 pelajar baharu di Akademi Todak Kuala Lumpur terutamanya bagi golongan muda yang tinggal sekitar Lembah Klang.

“Tadi kita ada pelajar dari Kuching, Sarawak yang sanggup menunggu selama tiga hari untuk datang ke Akademi Todak di Kuala Lumpur.

“Kita sasarkan pelajar dari Lembah Klang dan kita harap kita dapat 200 orang pelajar untuk Akademi Todak di sini. Kita juga sasarkan kepada anak-anak mara dan sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Ditanya mengenai pelan jangka panjang Akademi Todak, Taufik berkata, Akademi Todak di sini akan dikembangkan lagi sekiranya menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

“Program kita bukan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar-pelajar sekolah sahaja kita juga buka program ini untuk golongan dewasa. golongan dewasa pun boleh ikuti sama.

“Contoh kita punya sambutan di Akademi Todak Kuala Lumpur ini amat menggalakkan kita akan InsyaAllah kita akan buka lagi dan besarkan lagi (Akademi Todak) di sini juga di pusat beli belah Mara Digital,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button