Bisnes & Ekonomi

Inflasi negara mampu capai paras normal

PUTRAJAYA – Kadar inflasi negara mampu kembali ke paras normal iaitu sekitar dua peratus berdasarkan petunjuk ekonomi terkini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kadar inflasi pada Disember 2022 menurun kepada 3.8 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya, malah ia juga lebih rendah berbanding bulan-bulan sebelumnya.

“Semua komponen utama Indeks Harga Pengguna (IHP) menyederhana kecuali komponen restoran dan hotel dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain,” kata Rafizi.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) Disember 2022, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Rafizi kemudiannya menjelaskan, kemuncak kadar inflasi pada 2022 berlaku pada Ogos dan September dengan masing-masing berada pada paras 4.7 peratus dan 4.5 peratus.

“(Ketika ini) Graf dilihat menurun dan itu satu petanda baik. Kita berharap ia akan beransur ke paras inflasi yang lebih normal iaitu paras sebelumnya sekitar lebih dua peratus,” katanya.

Rafizi seterusnya menjelaskan, kadar inflasi Malaysia pada tahun 2022 adalah 3.3 peratus dan ia selari dengan unjuran Kementerian Kewangan dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2023.

Show More

Related Articles

Back to top button