Berita SemasaPM X

Perdana Menteri tiba di Brunei, lawatan rasmi 2 hari

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tiba di Brunei untuk lawatan rasmi kedua negara selepas kunjungan beliau ke Indonesia sebelum ini.

Lawatan rasmi Anwar sejak memegang jawatan perdana menteri itu diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Penerbangan khas membawa perdana menteri dan isteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 3.13 petang tadi.

Ketibaan Anwar dan Dr Wan Azizah disambut Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah.

Anwar diberikan sambutan rasmi di lapangan terbang itu.

Lagu kebangsaan Malaysia, ‘Negaraku’ dimainkan diikuti lagu kebangsaan Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’.

Perdana Menteri kemudiannya memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Turut hadir di lapangan terbang ialah Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.

Esok, perdana menteri dijadualkan untuk menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, dan kedua-dua pemimpin kemudiannya akan mengadakan pertemuan empat mata.

Kedua-dua pemimpin dijangka akan mengambil peluang untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan, di samping mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Perdana menteri dan Sultan Brunei juga akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

Selain itu perdana menteri akan menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Brunei, malam ini.-

Anwar pada 28 November tahun lalu menerima kunjungan Sultan Brunei selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke sepuluh Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button