Mayat pendaki Gunung Tahan ditemukan
LIPIS – Mayat seorang pendaki Gunung Tahan yang dipercayai lemas ketika melintasi Sungai Tanum dekat sini semalam ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mayat Haniff Harun, 47, yang berasal dari Kampung Paloh Haji Daud, Kuala Terengganu dijumpai pada pukul 11.20 pagi.
“Mayat mangsa telah dijumpai tersangkut di dalam sungai kira-kira 300 meter jarak dari lokasi mangsa dilaporkan hanyut ketika turun mendaki Gunung Tahan.
“Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lipis bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, mangsa bersama sembilan pendaki lain menyeberang sungai itu ketika dalam perjalanan turun dari Gunung Tahan sebelum dipercayai terjatuh dan dihanyutkan arus.
Mereka mendaki melalui pintu masuk di Merapoh, Lipis pada Jumaat lalu dan dijangka turun pada Selasa ini.
Namun, berikutan hujan lebat, kumpulan pendaki itu mengambil keputusan berpatah balik dan turun melalui laluan Kuala Juram.
Kumpulan pendaki ini telah dipandu arah oleh seorang malim gunung dan seorang porter.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua hari ini, membabitkan Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (Moscar), polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Perhilitan.
Azli memberitahu, pasukan SAR telah dipecahkan kepada tiga kumpulan, yang mana, setiap pasukan ditugaskan mencari di tiga lokasi berbeza.
“Pasukan pertama mencari di sekitar sepanjang Sungai Tanum dari tempat mangsa mula-mula hanyut di sepanjang tebing sungai.
“Manakala pasukan kedua mencari dari Kuala Juram hingga ke hilir sungai dan, pasukan ketiga pula menyusuri sungai menggunakan bot dan Skanu,” jelasnya lagi.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1 tengah hari.