Luar Negara

Hipkins PM baharu New Zealand

WELLINGTON – Parti Buruh mengesahkan Chris Hipkins sebagai pemimpin baharu parti itu sekali gus menjadi Perdana Menteri ke-41 New Zealand.

Kata agensi Xinhua, mesyuarat kaukus parti itu hari ini mengundi Chris Hipkins sebagai ketua baharu parti dan menjadi calon tunggal bagi menggantikan Jacinda Ardern yang mengumumkan peletakan jawatannya pada Khamis lalu.

Sementara itu, ahli Parlimen Kelston, Carmel Sepuloni dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Berdasarkan sistem politik New Zealand, parti yang memegang majoriti di Parlimen layak membentuk kerajaan dan memilih ketua parti itu menjadi perdana menteri.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mesyuarat kaukus itu, Hipkins berkata, beliau akan mengangkat sumpah secara rasmi sebagai perdana menteri pada Rabu depan, diikuti rombakan kabinet pada minggu seterusnya.

Beliau berikrar untuk menumpukan kepada isu domestik termasuk berkaitan inflasi, harga perumahan dan undang-undang selain mungkin merancang untuk melawat China.

Hipkins menggantikan Ardern yang mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan ketua Parti Buruh pada Februari dan tidak akan bertanding semula.

Sementara itu, pilihan raya umum New Zealand 2023 dijadual diadakan pada 14 Oktober, kata Ardern.

Show More

Related Articles

Back to top button