Cagar KWSP pada bank bukan idea baik – NGO
KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta supaya tidak terus berdiam diri berhubung kebenaran pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) demi kebajikan rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Presiden Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin (PWRN), Jannatul Ain Jaafar berkata, sebagai wakil ratusan ribu pencarum di negara ini, beliau menyeru kerajaan mencari jalan supaya pengeluaran itu dipercepatkan.
Beliau pada masa sama mempersoalkan kewajaran cadangan pakar ekonomi yang mahu wang caruman di KWSP dijadikan cagaran kepada bank untuk membolehkan pencarum mengeluaran wang.
“Tidak cukupkah beban hutang yang ditanggung rakyat akibat pandemik Covid-19 untuk berhutang lagi? Sedangkan pencarum memiliki wang hasil titik peluh sendiri yang boleh digunakan.
“Kenapa perlu kita membantu bank sedangkan jalan yang lebih mudah membantu rakyat adalah dengan meluluskan pengeluaran KWSP,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang pakar ekonomi mencadangkan wang caruman KWSP dijadikan cagaran kepada bank bagi meyakinkan pihak institusi perbankan untuk membantu pencarum yang menghadapi masalah kewangan termasuk beban hutang mengeluarkan wang.
Jannatul Ain yang merupakan pengendali akaun Tik Tok dengan nama ‘Wakil Rakyat Nitizen’ pada awal bulan ini telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri supaya membenarkan pengeluaran wang KWSP sebanyak RM50,000 atau 50 peratus daripada simpanan Akaun 1.
“Kami menyeru kerajaan supaya lakukanlah sesuatu demi rakyat yang semakin tertekan, terdesak dan hilang arah di luar sana untuk mereka menanggung keluarga.
“Ramai yang terpaksa keluar meninggalkan rumah kerana tidak mampu bayar, meminjam daripada Ah Long, melacur untuk dapatkan wang segera malah ramai yang membunuh diri kerana tekanan hidup.
“Masalah kesempitan hidup ini jika tidak dibendung dan diselesaikan akan menyebabkan masalah sosial yang teruk. Ramai keluarga sudah hancur bercerai-berai kerana beban kewangan,” katanya.
Menurut Jannahtul, dia menggunakan aplikasi TikTok dan Telegram sebagai platform untuk mendengar aduan serta keluh kesah orang ramai yang kebanyakannya semakin terhimpit dalam meneruskan kehidupan seharian selepas pandemik Covid-19.
“Sehingga kini, Kerajaan masih lagi memerlukan masa untuk mempertimbangkan dan mencari jalan solusi sedangkan pencarum yang terkesan sudah tidak dapat menunggu walau sehari pun tetapi masih bersabar dan yakin akan pemerintahan kerajaan perpaduan sekarang ini ialah kerajaan yang menjaga kebajikan rakyat,” katanya yang memiliki 243,000 pengikut di Tik Tok.