WTR Trader Academy adakan seminar asas “Futures Trading” mulai Januari
Bagi elak tertipu skim pelaburan palsu
CYBERJAYA – Sejak akhir-akhir ini pelbagai jenis pelaburan muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan sehingga menyebabkan ramai yang kurang berpengalaman dalam bidang tersebut terjebak dengan skim penipuan.
Menurut Pengasas WR Trader Academy Wafi Azian, kebanyakan skim penipuan kewangan
berselindung di sebalik janji menawarkan pulangan yang sangat menarik dan bebas risiko dalam jangka masa singkat.
Beliau berkata, mereka yang tidak berhati-hati dan tidak mempunyai asas ilmu pelaburan pasti akan terpedaya dengan skim pelaburan yang tidak wujud.
“Apabila kita menguasai ilmu analisis teknikal, kita boleh mengambil bahagian dalam mana-mana pasaran modal.
“Ia merupakan kemahiran yang sangat berguna dan antara alternatif kerjaya sampingan yang berimpak tinggi,” katanya.
Wafi berkata, analisis teknikal merupakan kemahiran yang boleh diwarisi kepada anak dan cucu bagi menjamin ekonomi mereka pada masa depan.
“Kita bukan sekadar membina kekayaan peribadi dan kekayaan generasi tetapi juga boleh mewariskan ilmu yang ada,” katanya.
Lebih menarik, Wafi berkata, pihaknya juga menawarkan ilmu mengenai konsep pelaburan tentang perbezaan pelaburan syariah dan konvensional.
“Dengan kepesatan teknologi maklumat, semakin ramai menjadi semakin bermaklumat dan berpengetahuan.
“Selagi ramai berpegang kepada yang halal, saya nampak bidang pelaburan patuh syariah hanya akan berkembang pada masa akan datang.
“Sebagai contoh, di bawah Bursa Malaysia, ada beberapa produk seperti ekuiti, bon, derivatif, indeks, dan lain-lain. Dalam setiap kelas aset ini, ada antaranya produk patuh syariah.
“Sebagai contoh, pada 26 Mei 2017, terdapat 676 sekuriti patuh syariah, mewakili 75 peratus daripada sekuriti yang tersenarai di Bursa Malaysia.
“Untuk derivatif, kita ada produk seperti Pasaran Hadapan Minyak Sawit Malaysia (FCPO) yang merupakan penanda aras harga minyak sawit mentah global sejak 40 tahun dahulu,” ujarnya.
Sehubungan itu, Wafi berkata, bagi orang ramai yang berminat untuk mendalami bidang pelaburan boleh menyertai seminar asas “Futures Trading” yang akan diadakan pada Januari 2023.
Katanya, seminar tersebut terbuka kepada semua pihak termasuk kepada golongan yang tiada pengalaman untuk mula belajar dan memahami teknik tentang pelaburan.