Kebakaran Wisma Jakel: Tiada unsur jenayah ditemukan
CYBERJAYA – Siasatan terhadap inisden kebakaran Wisma Jakel di Seksyen 7, Shah Alam tidak menemukan sebarang kesan perlakuan jenayah.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya kini sedang melaksanakan penyiasatan peringkat akhir.
“Siasatan kebakaran Wisma Jakel kini sudah masuk peringkat akhir dan tiada unsur jenayah dikesan pada peringkat ini, kita yakin dapat siapkan siasatan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di sebuah pusat beli-belah di Damansara, hari ini.
Untuk rekod, gedung tekstil terkemuka itu terbakar dua kali pada 1 dan 3 Jan lepas membabitkan anggaran kerugian berjumlah hampir RM100 juta.
Sementara itu, bagi mengulas mengenai kempen berkenaan, Wan Md. Razali berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan mengejut di premis dan lokasi tumpuan awam bagi memastikan ia selamat daripada sebarang risiko kebakaran.
“Sehingga semalam kami telah memeriksa 28 premis di seluruh Selangor,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Md Razali turut menasihati orang ramai yang ingin pulang ke kampung sempena musim perayaan ini agar memastikan rumah ditinggalkan dalam keadaan selamat, kenderaan telah diselenggara, mendapat rehat yang cukup dan merancang perjalanan terlebih dahulu.
Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Tahun Baharu Cina berlangsung dari 2 Jan hingga 30 Jan depan.