Politik

Speaker terkhilaf isu 4 Ahli Parlimen GRS, Bersatu akan rujuk mahkamah – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Yang Dipertua Dewan Rakyat telah terkhilaf dalam menafsir status empat Ahli Parlimen negeri Sabah yang telah gugur keahlian mereka dalam parti itu.

Muhyiddin berkata, keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang memutuskan empat Ahli Parlimen tersebut tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing menurut Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan kerana mereka bukan ahli Bersatu ketika bertanding dalam PRU-15 adalah tidak tepat.

“Alasan yang diberikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat ialah empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah menjadi ahli langsung Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 27 Oktober 2022.

“Dengan mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, Yang Dipertua Dewan Rakyat mendapati keahlian mereka dalam Bersatu telah gugur serta-merta pada waktu itu, iaitu sebelum mereka bertanding dalam PRU15 pada 19 November 2022.

“Saya percaya Yang Dipertua Dewan Rakyat telah terkhilaf dalam membuat tafsiran Perlembagaan Bersatu dan dengan itu keputusannya juga adalah terkhilaf. Yang Dipertua Dewan Rakyat bukanlah pihak yang mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, berdasarkan Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu menyatakan seorang ahli gugur keahliannya secara serta-merta apabila menyertai mana-mana parti politik lain.

Katanya, fasal itu tidak terpakai kepada empat Ahli Dewan Rakyat tersebut kerana mereka adalah ahli Bersatu dan parti itu adalah pengasas serta parti komponen GRS pada masa itu.

Justeru, katanya, GRS tidak boleh ditafsirkan sebagai “parti politik lain” mengikut semangat dan intipati Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

“Adalah jelas Yang Dipertua Dewan Rakyat telah membuat tafsiran khilaf berkenaan Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan. Memandangkan kuasa mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang terletak pada mahkamah, maka Bersatu akan merujuk perkara ini ke mahkamah supaya keluhuran undang-undang sentiasa terpelihara.

“Saya percaya mahkamah adalah tempat yang sesuai untuk mendapatkan keadilan dalam hal ini memandangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada parti Pakatan Harapan adalah pihak yang berkepentingan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button