Berita Semasa

Kerajaan kaji apung harga telur, subsidi untuk B40

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk mengapungkan harga telur dan memberikan subsidi kepada golongan B40.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, perbincangan mengenai perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan tiga kementerian iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup.

“Ada cadangan supaya harga telur diapungkan dan subsidi diberikan kepada B40 dan kita sedang buat kajian adakah ia baik kepada golongan B40.

“Ini kerana bagi orang yang mampu mereka tak kisah harga telur berapa pun dan orang Malaysia antara paling tinggi makan ayam dan telur,” katanya pada Majlis Amanat Sempena Tahun Baharu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Chan Foong Hin, Ketua Setiausaha MAFS, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.

Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor sebelum ini mencadangkan supaya kerajaan mengapungkan harga telur dan ayam tanpa meletakkan paras siling bagi mengatasi masalah kekurangan bekalannya.

Mengulas mengenai kekurangan telur, Mohamad Sabu menjangkakan masalah itu dapat diselesaikan dalam masa beberapa bulan melalui beberapa tindakan yang sedang dan akan dilaksanakan kerajaan.

“Kita sedang berbincang dengan penternak-penternak telur macamana nak susun semula hal subsidi sama ada nak diteruskan atau diubah cara supaya kita dapat membanyakkan telur dalam pasaran.

“Kini bekalan ayam dah agak stabil, telur pun akan stabil tidak lama lagi. Kalau rakyat buat rungutan, marah kepada kerajaan dan sebagainya itu hak mereka.

“Sekarang (bekalan telur) kita tampung sedikit dengan import. Kita harap ia akan baik dalam masa sebulan dua ini ,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Sabu berkata, pengimportan telur dari India akan dihentikan sebaik sahaja pengeluaran dalam negara mencukupi.

Menjelaskan mengapa Malaysia mengimport telur dari negara itu, beliau menjelaskan India merupakan antara negara yang sedia membekalkan kuantiti telur yang diperlukan dengan mematuhi prosedur tersedia.

“Ketika itu India membekalkan telur untuk Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia di Qatar,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button