Tercemar punca beras, barang dapur dilupuskan di tapak pelupusan Temerloh
TEMERLOH – Isu pelupusan beras dan barang dapur di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur, di sini, baru-baru ini dikenal pasti berpunca akibat pencemaran makanan.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, barangan dapur itu merupakan stok simpanan yang sentiasa disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau dahulu.
Menurutnya lagi, ia disediakan menggunakan peruntukan peribadi, sebelum tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 di mana sebarang pemberian barangan kepada orang awam tidak dibenarkan dalam tempoh berkempen.
“Pada tarikh 5 April lepas, saya telah menerima aduan daripada jiran yang menyatakan terdapat bau busuk di tempat stor simpanan barangan dapur tersebut.
“Hasil siasatan di stor simpanan ini mendapati terdapat beberapa ekor bangkai tikus dan beras serta barangan dapur ini telah dicemari bubuk/kutu beras.
“Barangan lain juga tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana tercemar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ismail mengambil tanggungjawab dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembelian barangan dapur itu tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang.
Ia juga tidak melibatkan peruntukan barangan dalam tempoh COVID 19 atau persiapan pangkalan hadapan menghadapi banjir.
Katanya lagi, sebahagian daripada beras itu telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar, manakala sebahagian lagi telah dilupuskan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune