UMNO mungkin menang 10 kerusi sahaja dalam PRU akan datang – Zainal Abidin
KUALA LUMPUR – UMNO disaran untuk mengubah strategi sedia ada selepas trend penolakan parti itu semakin meningkat berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique, trend penolakan itu terjadi bukan sahaja di kawasan bandar malah di kawasan luar bandar.
Katanya, UMNO mungkin hanya akan memenangi 10 kerusi sahaja dalam PRU akan datang sekiranya masih menggunakan strategi yang sama.
Zainal Abidin, yang juga mewakili UMNO Wilayah Persekutuan ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden UMNO, berkata, beliau pernah menyuarakan kebimbangan mengenai perubahan trend pengundian terhadap UMNO.
“Perkara itu pernah disuarakan saya dalam perbahasan di PAU pada 2014 berikutan kemerosotan undi dan penolakan pengundi terhadap parti itu di bandar.
“Saya juga ada menyatakan bahawa trend ini bakal merebak ke kawasan pinggiran bandar jika sesuatu tidak dilakukan oleh UMNO.
“Terbukti tanggal 19 November 2022 menyaksikan kebimbangan saya ini berasas dan ia telah pun menjadi satu realiti yang amat ngeri.
“Di Lembah Klang, Selangor dan Wilayah Persekutuan daripada 34 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, kita hanya menang Satu kerusi sahaja iaitu di Wilayah Persekutuan (Parlimen Titiwangsa),” katanya.
Tambah beliau lagi, pengundi Melayu di bandar dan pinggir bandar sudah lama beralih arah menyokong PKR dan kini, majoriti pengundi Melayu di luar bandar pula beralih arah mengundi Pas untuk dijadikan pembela bangsa dan agama.
Oleh sebab itu, beliau menggesa UMNO meneliti semula apa yang perlu dilakukan dan bagaimana boleh mengubah trend penolakan pengundi terhadap UMNO.