Politik

Kerajaan negeri baharu Sabah bukan kerajaan perpaduan – Bung Moktar

CYBERJAYA – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berpandangan kerajaan negeri yang baharu dirombak bukan sebuah kerajaan perpaduan seperti yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan untuk turut melantik dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO memegang portfolio menteri termasuk jawatan timbalan ketua menteri dianggap ‘membelakangkan’ parti itu kerana pelantikan mereka tidak mewakili parti itu, selain tidak diiktiraf pimpinan parti negeri.

“Ketua Menteri nampaknya membelakangkan pandangan PM untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Sabah, perlu diingat pembentukan kerajaan pusat, BN (Barisan Nasional) merupakan penyumbang kepada kerajaan perpaduan.

“Saya juga berharap ketua menteri bersikap adil dengan rakan-rakan dalam kabinet tanpa melibatkan campur tangan secara langsung dalam pentadbiran kementerian masing masing,” kata Bung Moktar yang juga Pengerusi BN negeri, dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga ADUN Lamag berkata, pelantikan mereka hanya mewakili individu demi kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan masa depan parti secara menyeluruh.

Katanya, pihaknya sedang membawa perkara itu untuk dihadapkan kepada Lembaga Disiplin parti kerana membelakangkan keputusan UMNO/BN Sabah.

“Kita akan berbincang dengan presiden (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) untuk mengambil sebarang tindakan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan rombakan kerajaan negeri dengan menggugurkan Bung Moktar daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri I, dan digantikan denghan Presiden Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.

Hajiji turut melantik ADUN UMNO bagi Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button