Berita Semasa

Kerajaan teliti cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati

CYBERJAYA – Kerajaan sedang dalam proses meneliti dan mengkaji semula cadangan serta pandangan yang telah dikemukakan sebelum ini berkaitan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, cadangan hukuman gantian yang sedang diteliti hendaklah mengambil kira kedudukan semua pihak yang terlibat demi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta kedaulatan undang-undang (rule of law) sentiasa diberi keutamaan.

“Proses ini perlu menitikberatkan aspek perundangan, oleh itu pindaan undang-undang yang berkaitan akan dimuktamadkan dengan segera memandangkan pindaan-pindaan ini dijadualkan untuk dibentang di Dewan Rakyat pada persidangan yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara yang sedang diteliti termasuk syor jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum, sesi libat urus agensi kerajaan berkaitan serta pihak organisasi masyarakat sivil (CSO) dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ramkarpal berkata sebelum ini, sebanyak tujuh Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pindaan akta pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori telah dibentangkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang- Undang) di Dewan Rakyat pada 6 Okt tahun lalu.

Beliau berkata sebarang pindaan perlu dibentangkan semula pada sidang Parlimen yang akan datang berikutan pembubaran Parlimen pada 10 Okt 2022.

“Kerajaan Perpaduan sentiasa komited terhadap pemansuhan hukuman mati mandatori dan yakin penyelesaian yang terbaik akan dilaksanakan terhadap 1,327 banduan hukuman mati demi memastikan kepentingan semua pihak akan diambil kira,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button