AmRencana

Resit cukai pendapatan perlu disimpan 7 tahun, elak masalah di masa depan

PEJAM celik, pejam celik berakhirlah sudah tahun 2022 dan ini bermakna bermula pada bulan Mac 2023 ini pembayar cukai individu akan mula menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengisi Borang Nyata Cukai bagi Tahun Taksiran 2022.

Dalam kesibukan untuk mengisi Borang Nyata Cukai kami pasti mungkin akan berlakunya pelepasan cukai yang lupa untuk dituntut kerana resit-resit dan dokumen-dokumen berkaitan pelepasan cukai tersebut hilang atau sudah lusuh akibat gagal disimpan dengan rapi.

Selain daripada tanggungjawab menyimpan semua dokumen percukaian ini memang ada termaktub dalam undang-undang, kelebihannya juga banyak jika ia disimpan dengan rapi dan pastinya ia akan memberikan manfaat kepada pembayar cukai sendiri.

Dalam artikel ini kami kongsikan apakah manfaat yang pembayar cukai akan dapat sekiranya mereka mengamalkan tabiat menyimpan semua dokumen percukaian dengan baik dan selamat.

1. Mematuhi undang-undang cukai

  • Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) memang ada menyatakan dengan jelas bahawa setiap dokumen percukaian hendaklah disimpan dengan selamat sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh (7) tahun. Ketetapan ini diperuntukkan menurut seksyen 82 dan 82A ACP 1967 dan kegagalan untuk mematuhi peruntukan dalam akta ini merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan denda atau penjara untuk suatu tempoh tertentu.
  • Sudah pasti kami tidak mahu melihat pembayar cukai mengalami semua masalah ini, justeru ikutlah nasihat kami dan simpanlah semua dokumen percukaian dengan teratur dan selamat

2. Memudahkan urusan pengiraan cukai

  • Sebelum pembayar cukai mengisi Borang Nyata Cukai, kami percaya mereka akan membuat pengiraan cukai yang mereka perlu bayar terlebih dahulu. Tujuannya ialah untuk memastikan semua perbelanjaan dan pelepasan cukai telah diambil kira sebelum ia dikunci masuk ke dalam borang cukai elektronik atau e-Filing mereka.
  • Mengikut pengalaman kami, kesilapan sering berlaku apabila pembayar cukai tidak bersedia dari awal dengan pengiraan cukai, resit-resit dan dokumen-dokumen percukaian mereka sehingga menyebabkan ketika mereka mengisi e-Filing mereka akan terlupa mengambil kira perbelanjaan dan pelepasan yang layak mereka tuntut. Akibatnya, amaun cukai yang mereka kena bayar kepada HASiL menjadi lebih tinggi kerana jumlah perbelanjaan dan pelepasan cukai yang mereka isi dalam e-Filing adalah rendah daripada yang sepatunya.
  • Keadaan ini pasti merugikan pembayar cukai kerana mereka telah membayar amaun cukai yang lebih daripada yang sepatutnya kepada kerajaan.

3. Mudahkah urusan semakan semula oleh HASiL

  • Penyimpanan rekod yang kemas, teratur dan selamat juga akan membantu pembayar cukai mengemukakan bukti perbelanjaan dan pelepasan cukai tersebut adalah sahih apabila ia diperlukan oleh HASiL.
  • Dalam Sistem Taksir Sendiri, HASiL akan menerima setiap pelaporan cukai daripada pembayar cukai secara suci hati. Maknanya, kami tidak meragui setiap pelaporan cukai yang dibuat oleh pembayar cukai sehinggalah kami dapati ada keraguan yang munasabah pada pelaporan tersebut.
  • Jika itu berlaku maka pegawai HASiL akan menghubungi pembayar cukai dan memohon pembayar cukai untuk mengemukakan bukti perbelanjaan atau pelepasan cukai yang dituntut dalam Borang Nyata Cukai mereka.
  • Tujuan proses ini dilakukan adalah untuk proses semakan semula dan mengesahkan kesahihan tuntutan tersebut. Dalam hal ini pembayar cukai tidak perlu bimbang kerana selagi semua resit dan dokumen percukaian berjaya dikemukakan dan perbelanjaan serta pelepasan cukai yang dituntut dapat dibuktikan kesahihannya, maka HASiL akan menerimanya tanpa mengenakan taksiran tambahan mahupun penalti. Oleh kerana itulah pentingnya semua dokumen percukaian ini disimpan dengan teratur.

4. Membantu pembayar cukai membuat semakan semula dan memohon pengurangan cukai.

  • Manfaat ini paling seronok dan sering tidak disedari oleh pembayar cukai. Tujuan dokumen cukai disimpan sebenarnya bukan untuk membantu urusan HASiL semata-mata, sebaliknya ia juga bagi memberikan peluang kepada pembayar cukai meneliti semula pelaporan cukai yang telah mereka buat sebelum ini.
  • Jika pembayar cukai mendapati mereka telah tersalah lapor amaun perbelanjaan atau pelepasan yang menyebabkan mereka rugi kerana terpaksa membayar cukai yang lebih tinggi, mereka sentiasa dialu-alukan untuk menghubungi HASiL bagi urusan semakan semula sekali gus bakal menikmati pengurangan cukai.

Maka mulai hari ini amalkan tabiat untuk menyimpan semua dokumen percukaian dengan teratur dan selamat. Ia banyak memberi manfaat kepada pembayar cukai, malah kaedah penyimpannya juga tidaklah rumit kerana dokumen-dokumen tersebut boleh disimpan dalam bentuk salinan cetak (hard copy) ataupun salinan digital (soft copy).

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada HASiL melalui: a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); b) HASiL Live Chat; dan c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

Oleh: Bahagian Pendidikan Cukai Jabatan Khidmat Korporat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Show More

Related Articles

Back to top button