Berita Semasa

54,000 permohonan kewarganegaraan Malaysia diterima antara 2017 hingga 2022 – Saifuddin

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah menerima sebanyak 54,000 permohonan bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan di negara ini bagi tempoh 2017 hingga 2022.

Daripada jumlah itu, sebanyak 7,000 permohonan sudah diluluskan, manakala 36,000 lagi permohonan sedang diproses.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, baki 11,000 lagi permohonan terpaksa ditolak dan dibatalkan atas pelbagai sebab.

“Terdapat beberapa kategori permohonan termasuk di bawah Perkara 15A (Kanak-kanak di bawah umur 21 tahun dalam keadaan khas), Perkara 16 (Orang yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka) dan Perkara 19/1) (Naturalisasi),” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Surat Keputusan Permohonan Kewarganegaraan kepada 28 penerima di Ibu Pejabat JPN, di sini hari ini.

Katanya, pihak kementerian akan berusaha sebaik mungkin meneliti kesemua permohonan itu dan akan diberikan keutamaan sewajarnya.

“Sudah tentu bila kita letakkan asas kerja untuk maksud mempercepatkan permohonan, kita tentu ambil kira kita nak capai berapa.

“Ianya mesti spesifik, boleh diukur, mesti boleh dicapai, munasabah dan mesti ada garis masa,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, pihaknya juga tidak akan sama sekali berkompromi dalam aspek keselamatan terutama dalam memproses permohonan kewarganegaraan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button