Mengejutkan, cukai premis judi di Kedah hanya RM400,000
ALOR SETAR – Jumlah kutipan cukai daripada sektor judi di negeri ini hanya berjumlah RM400,000 pada tahun 2021.
Justeru, penutupan premis judi di Kedah sejak 1 Januari lalu disifatkan Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor langsung tidak merugikan.
Bahkan beliau berkata, sekiranya nilai cukai mencecah RM400 juta sekalipun, beliau tetap tidak ralat untuk menutup premis-premis judi yang lebih banyak merugikan masyarakat.
“Secara keseluruhannya, pendapatan yang dikutip pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah daripada cukai premis perjudian cuma sekitar RM400,000 sahaja tahun lalu. Tapi kalau RM400 juga sekalipun saya tetap akan tutup juga.
“Ini kerana kesannya jauh lebih teruk, menyebabkan keluarga berantakan kerana ada ibu bapa yang jadi tahi judi, balik rumah pukul anak dan isteri, jual harta dan mencuri kerana judi,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman hari ini.
Sanusi berkata, kehilangan pendapatan sebanyak RM400,000 itu tidak akan merugikan kerajaan negeri sebaliknya beliau yakin Allah akan menggantikan dengan balasan yang lebih menguntungkan.
“Judi ini tidak memberi sebarang untung kepada kita, lebih akan lebih untung sekiranya masyarakat selamat dan bebas judi.
“Saya harap keputusan ini dapat sokongan kerana ia selari dengan tuntutan Islam,” katanya.
Kerajaan negeri pada November 2021 memutuskan tidak lagi memperbaharui semua lesen premis judi dengan lesen terakhir tamat pada 31 Disember 2022 sebagai usaha menjadikan Kedah sebagai kawasan bebas judi.
Beliau berkata, penutupan premis judi di negeri itu dilakukan secara berperingkat sejak 2021 kerana ada sebahagian daripada premis masih mempunyai lesen yang sah.