Berita Semasa

KKD siasat dakwaan kebocoran data melibatkan Maybank, Astro dan SPR

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memandang serius dakwaan kebocoran data melibatkan Maybank, Astro dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada 25 Disember lalu.

Menterinya, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan hari ini berkata, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia (CSM) sedang mendapatkan maklum balas daripada Maybank dan Astro berhubung dakwaan ini bagi memastikan kesahihan pemilikan data.

“Siasatan awal ke atas maklumat nombor akaun Maybank yang dipaparkan dalam laman sesawang berkenaan mendapati akaun-akaun berkenaan adalah tidak sah atau tidak wujud kerana transaksi tidak boleh dilakukan melalui nombor akaun tersebut.

“Siasatan awal juga mendapati terdapat potensi data yang didakwa bocor adalah merujuk kepada satu insiden kebocoran yang berlaku pada tahun 2018. Walau bagaimanapun, pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan adalah diperlukan untuk tujuan siasatan terperinci di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 7091,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambah Fahmi lagi, siasatan mengenai kebocoran data SPR pula akan diserahkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk tindakan selanjutnya memandangkan ia adalah di luar bidang kuasa Akta 709.

“Notis sekatan juga telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan menghalang orang awam mengakses laman sesawang tersebut.

“Saya ingin mengingatkan semua Pengguna Data agar sentiasa memastikan tahap keselamatan siber berada pada paras yang baik dan sentiasa mematuhi prinsip dan standard perlindungan data peribadi selaras dengan Akta 709,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button