Penyedia, pengendali makanan di Selangor wajib pakai pelitup muka mulai 1 Jan
CYBERJAYA – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengingatkan semua penyedia dan pengendali makanan di kawasannya untuk mematuhi arahan pemakaian pelitup muka yang berkuatkuasa mulai 1 Jan ini.
MPS menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya memberitahu, peringatan itu selaras arahan kerajaan negeri yang mensyaratkan pemakaian pelitup muka kepada penyedia, pengendali makanan dan minuman di Selangor bermula tahun depan.
Peraturan baharu itu sebagai salah satu kaedah untuk menjaga kebersihan.
“Tindakan kompaun akan dikenakan kepada mereka yang ingkar arahan tersebut yang menjadi antara syarat bagi kelulusan lesen perniagaan,” kata MPS.
Sebelum ini Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkata pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan pemakaian pelitup muka dalam kalangan pengusaha restoran dan penjaja bermula tahun depan.
Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata pemantauan dan penguatkuasaan akan dijalankan Jabatan Pelesenan dan Penjaja dengan bantuan Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan.
Katanya, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 7 Sept lalu mensyaratkan pemakaian pelitup muka kepada penyedia, pengendali makanan dan minuman di Selangor dan Jabatan Pelesenan dan Penjaja telah mengeluarkan arahan supaya mematuhi perkara itu.