Kaji semula ratifikasi CPTPP, beri kesan negatif kepada petani, usahawan dan pengguna – NGO
PUTRAJAYA – Satu Memorandum Forum Kedaulatan Makanan Malaysia berkenaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) telah diserahkan kepada Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, di sini, pagi tadi.
Menurut Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia, Nur Fitri Amir Muhammad, tujuan memorandum tersebut adalah untuk mendapatkan penjelasan mengenai penilaian dan kaiian berkenaan perkara yang disebut dalam ratifikasi CPTPP.
Katanya, analisis kos dan faedah yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak langsung mengkaji kesan CPTPP terhadap petani, penternak, nelayan dan usahawan dalam sektor pertanian dan pengguna.
“Negara-negara yang meratifikasi CPTPP wajib menyertai Konvensyen UPOV 1991.
“Konvensyen ini bertujuan untuk memberikan perlindungan dan hak monopoli yang meluas kepada pembiak baka tumbuhan.
“Sistem UPOV berat sebelah dan menafikan kepentingan dan sumbangan petani. UPOV menghalang petani melakukan inovasi dan menafikan hak tradisi petani untuk bebas berkongsi dan menjual benih terlindung yang dituai dari ladang mereka sendiri.
“Subsidi untuk nelayan boleh di sekat jika seseorang nelayan menangkap spesis ikan yang di kategorikan sebagai spesis yang berkurangan kerana terlalu banyak ditangkap.
“Peraturan ini tidak adil kerana ia meletakkan kesalahan kekurangan spesis ikan kepada nelayan kecil sedangkan punca utama kepupusan ikan adalah daripada pencemaran dan penggunaan pukat yang diharamkan oleh bot-bot tunda yang besar,” katanya dalam satu sidang media di lobi Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (MAFI) di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bersama beberapa wakil organisasi usahawan, pengguna petani dan nelayan.
Tambah Nur Fitri lagi, CPTPP memberikan 10 tahun keistimewaan perlindungan pemasaran eksklusif terhadap agrokimia yang akan menyebabkan harga racun pertanian meningkat tiga kali ganda.
Selain itu, katanya, CPTPP juga mensyaratkan pemansuhan tarif atau cukai import kepada 0 peratus terhadap hampir keseluruhan produk pertanian yang diproses dan belum diproses.
“Selain memberikan pendapatan kepada kerajaan, tarif import juga adalah sebuah mekanisme untuk melindungi petani, nelayan dan penternak tempatan daripada berlakunya lambakan produk import yang murah dan mungkin juga berkualiti rendah. Tanpa tarif lambakan import akan berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, Nur Fitri berkata, dalam CPTPP, permit-permit import yang bertujuan untuk melindungi pengguna dan pasaran tempatan ini tidak boleh digunakan secara bebas oleh agensi-agensi terbabit seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk melindungi petani dan penternak daripada lambakan import.
“Contohnya apabila cili asing yang murah dan berkualiti rendah memenuhi pasaran dan menjejaskan petani tempatan pada masa hadapan, FAMA akan menghadapi sekatan baru jika hendak membantu mengurangkan import melalui mekanisme sanitari dan fitosanitari.
“Peluang usahawan tempatan dalam sektor pertanian akan semakin mengecil. Lambakan produk import dan perkhidmatan asing ke dalam negara bole menyebabkan kilang-kilang dan usahawan-usahawan tempatan gulung tikar.
“Lambakan produk import akan menggembirakan pengguna pada jangka masa pendek. Namun, tanpa sedar in akan membunuh pengeluar dan peniaga tempatan sehingga semua keperluan pengguna akan bergantung kepada negara luar,” ujarnya lagi.