Air Asia umum penerbangan tambang tetap sempena CNY ke Sabah, Sarawak
SEPANG – Air Asia hari ini mengumumkan harga tambang tetap penerbangan Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke beberapa destinasi di Sabah dan Sarawak bagi perjalanan dari 17 sehingga 30 Januari 2023.
Harga tambang itu adalah RM199 untuk penerbangan ke Kuching, Bintulu, Miri dan Sibu manakala RM249 untuk penerbangan ke Kota Kinabalu dan Tawau.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata, tawaran sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina itu boleh ditempah bermula hari ini.
“Hari ini, kami berbesar hati dapat memperkenalkan penerbangan tambahan lewat malam pada tambang rendah tetap dengan jumlah 25,020 tempat duduk tambahan ke bandar terpilih di Malaysia Timur untuk tempoh perayaan akan datang.
“Selain 52 penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap ke enam destinasi popular di Sabah dan Sarawak, AirAsia juga mengendalikan 274 penerbangan mingguan pada tambang biasa ke destinasi yang sama,” katanya pada majlis pelancaran penerbangan tambahan istimewa itu di ibu pejabat RedQ AirAsia, di sini hari ini.
Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.
Anthony dalam ucapannya menyambut baik usaha Air Asia menurunkan kadar tambang semasa musim perayaan walaupun industri penerbangan kini masih berdepan banyak cabaran operasi.
“Kami gembira Air Asia komited untuk menyokong inisiatif kerajaan menurunkan tambang semasa musim perayaan penting, walaupun terdapat kekangan operasi.
Tambahnya, dengan kerjasama semua pihak berkuasa termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan pihak berkaitan penerbangan lain, beliau berharap harga tambang penerbangan di negara ini akan terus diturunkan.