KKM gesa ambil dos penggalak susulan peningkatan kes Covid-19 di China
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa semua individu yang berkelayakan untuk tampil mendapatkan vaksin dos penggalak susulan peningkatan kes mendadak Covid-19 di China.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, langkah tersebut perlu diambil agar rakyat Malaysia mendapat perlindungan yang optimum terhadap jangkitan itu.
Katanya, beberapa langkah lain turut dilaksanakan bagi mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes dan kematian seperti yang pernah dialami semasa varian Delta melanda seluruh dunia termasuk negara.
“Dengan mengambil kira negara mempunyai risiko kemasukan kes-kes Covid-19 dari luar negara, KKM terus mempertingkatkan kesiapsiagaan.
“Antara langkah itu ialah meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan, jangkitan serius serta kematian,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, KKM juga akan memastikan semua Covid-19 Assessment Centre (CAC) beroperasi secara fizikal dan secara maya.
“Pusat CAC di Klinik Kesihatan dan Komuniti bersedia untuk menerima kedatangan atau panggilan pesakit yang tinggi untuk membuat penilaian terhadap pesakit yang disahkan positif jangkitan Covid-19,” ujarnya
Tambahnya lagi, KKM juga akan mengukuhkan pengurusan Covid-19 melalui pendigitalan pengurusan kesihatan dan memperkenalkan penggunaan ubat antiviral Paxlovid.
“Penularan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat akan dipantau rapi melalui pelaksanaan aktiviti survelan melibatkan lokasi sentinel influenza-like illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) di seluruh negara,” ujarnya lagi.
Terdahulu, media melaporkan, Wilayah perindustrian Zhejiang kini berdepan sejuta jangkitan baharu Covid-19 setiap hari malah jumlah itu dijangka meningkat sehingga dua kali ganda dalam tempoh beberapa hari lagi.
Menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, terdapat peningkatan kes di seluruh negara tetapi tiada laporan kematian Covid-19 di situ sejak lima hari lalu.