Kerajaan ambil langkah proaktif bendung inflasi pada 2023
CYBERJAYA – Kerajaan telah mengambil beberapa langkah proaktif menangani isu inflasi dan kesan terhadap harga barangan keperluan asas yang melanda negara ini dan dunia khususnya.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, keadaan inflasi yang berlaku sejak ekonomi dibuka semula dalam fasa pasca pandemik Covid-19, dijangka semakin memburuk pada 2023.
Ini kata beliau diakui melalui data yang dibentangkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam beberapa siri mesyuarat dan forum sejak tahun 2021 serta terkini pada Disember ini.
“Sebagai persediaan, kerajaan telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam menangani isu ini termasuk tindakan jangka pendek dan sederhana.
“Tempoh dua minggu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kementerian terlibat ketika Mesyuarat Khas NACCOL 27 November lalu telah disambut dan cadangan telah dibentangkan pada 13 Disember dan Mesyuarat Jemaah Menteri 14 Disember lalu.
“Selain itu, beberapa siri mesyuarat lain yang lebih berfokus telah diadakan di sebalik tabir melibatkan beberapa pemegang taruh termasuk kementerian, pemain industri, ahli akademik dan wakil pengguna,” katanya dalam satu kenyataan bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahudin Ayub, hari ini.
Jelas Rafizi lagi, kerajaan turut sedang mengusahakan langkah jangka masa sederhana peringkat bekalan dengan menangani kekurangan bekalan untuk kegunaan tempatan dengan kerajaan akan mengambil langkah mengimport bekalan barangan keperluan asas yang diperlukan untuk memenuhi permintaan pengguna tempatan.
Pada masa sama, wajar untuk kerajaan bekerjasama dengan pemain industri tempatan untuk memperkasa dan juga memperkukuhkan bekalan barangan keperluan asas tempatan supaya negara tidak perlu bergantung sepenuhnya pada pembekal dari luar.
Sementara itu, Salahudin pula berkata, pengawalan inflasi dan juga kos sara hidup memerlukan kerjasama semua pihak yang terbabit dalam rantaian nilai termasuk kerajaan, pengeluar, peniaga dan juga rakyat.
Katanya, kos sara hidup bukan sahaja berlegar mengenai harga murah tetapi harga adil kepada pengeluar, peniaga dan pengguna.
“Kerajaan berharap perkara ini akan memudahkan pengurusan kos dan seterusnya memastikan segala penjimatan dapat dialirkan kepada para pengguna seterusnya meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau menyarankan pengguna untuk terus memperkukuhkan peranan mereka sebagai pengguna bijak.